Tuesday 24 December 2013

Aku & Dia Dah Putus !


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...
Assalamualaikum wbt...

“Aku dan dia dah putus…”
“Kenapa?”
“Aku dah tak sayangkan dia. Pelik bukan. Tiba-tiba saja perasaan tu hilang”
“Kau pasti dengan keputusan kau. Kau tak kesiankan dia? Dia sayang kau…”
“Kesian la jugak. Tapi bila aku fikir balik. Lagi kesian kalau aku teruskan. Aku dah tak mampu…”
“Buatlah apa yang kau rasa terbaik….”
selepas setahun.
“Aku geram. Dia tipu aku. Lepas setahun baru aku tahu…”
“Kenapa? Apa yang dah jadi…?”
“Dia ada ramai perempuan belakang aku. Dia tipu aku. Aku rasa pedih. Terlalu pedih…”
“Kenapa kau pedih. Kan perasaan kau dekat dia dah lama hilang”
“Entah. Mungkin rasa dikhianati. Tak dihargai. Mungkin kalau aku sayang dia. Sekarang aku dah longlai. separuh mati aku terluka.  rabak. koyak. patah….”
“Lupakanlah. Jangan bebani hati fikiran diri kau dengan benda dah lepas ni…Tidurlah dah lewat…”
“Aku tak boleh stop. Mata aku tak boleh nak lelap. Kecewa aku menggunung. Otak aku overtime….”
beberapa bulan kemudian
“Aku selalu tertanya-tanya kenapa perasaan aku pada dia boleh hilang. Sekelip mata.”
“kau ada jawapan?”
…senyum  “ada…mudah.”
“Apa dia?”
“Bila aku pandang semua benda yang jadi tu ada hikmah. Aku mula refleksi balik segala apa yang aku dah buat. Apa yang jadi dalam hidup aku. Dan aku dapat jawapan. Kau nak tahu?”
“Kongsi lah…”
“Allah sayang aku. Dia taknak aku setia pada orang yang x hargai aku. Dia benarkan aku tahu kebenaran setelah setahun. Mungkin masa tu baru kekuatan aku cukup untuk menampung kekecewaan aku. Dan aku fikir-fikir balik, Allah beri yang terbaik untuk aku. Sedangkan banyak benda yang aku lalai. Hubungan aku dengan Allah aku terabai.”
“Maksud kau?”
“Aku banyak berfikir. Refleksi balik segalanya. Cari jawapan pada soalan-soalan aku. Aku kadang-kadang lalai dalam mengingati Allah. Leka dengan cinta lelaki. Aku dah bazirkan masa,duit untuk cinta lelaki. Aku dah sedar aku sepatutnya fokus cinta kepada Pencipta. Nak tahu sesuatu?”
“Teruskan aku dengar…”
“Aku pernah tanya kenapa aku jumpa lelaki yang salah. Sekarang aku rasa aku tahu kenapa. Aku belum cukup baik. Dan aku kena betulkan diri aku untuk dapat yang terbaik. Rasa cinta itu memang anugerah daripada Allah. Tapi kita manusia ni lebih menghargai rasa cinta itu daripada Si Pemberi.
Kakak sepupu aku pernah cakap bila kita couple susah nak kawal bukan…Rindulah sayanglah then gaduh sampai emo seminggu. Lepas itu mula nak pegang-pegang tangan, bergambar rapat-rapat…Sebab tu,lebih baik mencegah daripada mengubati bukan…”
“so sekarang?”
“aku tengah berjuang menjadi lebih baik. Doakan. Selangkah. Dua langkah…Aku sedang berlari. Mendekati Pencipta…”
“Lelaki? Cinta?”
“Hanya yang Halal. Janji Allah itu pasti.”
“Kau yakin sekarang? Rasa lebih baik?”
“Alhamdulillah. Semua jawapan-jawapan yang aku cari membawa aku pada Allah.aku nampak cahaya melambai-lambai dari jauh. Cahaya itu yang buat aku bangun. Dan ketenangan itu milik aku. Sungguh, hikmah itu kalau dicari gali manisnya tiada berpenghujung. Aku khilaf. Sebab aku tahu Allah sentiasa ada, cuma manusia yang mencipta jarak.
Itu kata-kata yang aku rasa sesuai dengan situasi aku. Mungkin dulu aku nak dekat dengan Dia bila nak sesuatu atau sedih kecewa saja. Tapi sekarang aku dah sedar, faham tanggungjawab aku. Allah buktikan lagi sayang Dia pada aku dengan adanya perasaan ini. Syukur :)

Bingkisan Hati : In every bad things happen, there's always a hikmah. Always behind everything. Because Allah just love us so much :')
-CP-
Nukilan FatinNabihahMS

Monday 2 December 2013

Tazkirah : Hari Akhirat

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum wbt.

Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syugSemua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy.

Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai.)
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah /Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka. (Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang   xdapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.


Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat2 yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun sepotong ayat. ❞

-CP-


Nukilan FatinNabihahMS

Thursday 28 November 2013

Mengetahui dan Tidak Mengetahui

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Segala pujian bagi Allah SWT, Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda. Alhamdulillah sekali lagi masih diberikan nafas dan masih hidup di bumi Allah SWT. Masih diberikan peluang untuk beribadah dan bertaubat kepada Allah SWT. Sudah 6 hari diri ini berada dibumi Beting. Di UiTMNS tercinta. Memulakan semester baru. Semester yang penuh dengan killer subject. Hehe.

Semalam saya ada meeting dengan Family Komander saya dan saat itu sahabat saya pinjam buku saya dan menulis sesuatu di buku itu. Dia mengatakan ayat itu untuk saya.
Ayat yang sahabat saya beri itu ialah :

Surah Al-Zumar, Ayat 9 : 
"Katakanlah (Muhammad), tidak sama orang yang mengetahui dan tidak mengetahui."

~Belajarlah ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah dengan seikhlas hati.

Maksud yang sahabat saya ingin sampaikan kepada saya ialah berbeza seseorang yang mengetahui dan tidak mengetahui. Jika kita tidak mengetahui, belajarlah untuk mengetahui sesuatu itu. Wallahuaalam.

Terima kasih wahai sahabat :)


Nukilan FatinNabihahMS

Tuesday 19 November 2013

Nak Jadi Seperti Mereka !

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Segala pujian bagi Allah Rabbul Izzati, Selawat ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda. Alhamdulillah Ya Allah, kerana masih diberi nafas untuk hidup dimuka bumi ini untuk meneruskan ibadah kepadaNya, bertaubat atas dosa-dosa lalu dan masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk mencoretkan sedikit bingkisan dari hati. Dan terus menyampaikan dakwah walaupun diri ini masih belum sempurna. Allahu.

Tik tok tik tok.

Dah pukul 5.48 pagi, tapi mata saya masih lagi belum mahu lelap. Terasa penat dan mengantuk. Tapi diri ini masih lagi gigih berjaga. Sukar mahu lelap. Entah apa yang saya sering fikirkan kebelakangan ini. Terasa resah diri ini. Adakah diri ini sudah jauh dari Allah SWT? Ya Allah, ampunilah dosa hambaMu yang sering alpa ini. :'(

Teringat diri ini akan diri saya yang dahulu. Syukur, Alhamdulillah, sejak masuk ke UiTM ini, Hidayah dari Allah SWT itu datang kepada diri ini. Perasaan ingin berubah ke arah lebih baik, dan ingin menggapai cinta dari Allah SWT itu membuak-buak datang di sanubari ini. Mungkin, ini caranya Allah SWT mahu memberikan Hidayah kepada saya. Kenapa saya berkata begitu? Biarlah hanya saya sahaja yang tahu :)

Sekarang, saya lebih suka melihat penampilan muslimah bertudung labuh. Subhanallah. Tidak berkelip mata ini jika terpandang mereka. Sungguh cantik ! Mereka yang menutup auratnya, tutur katanya dijaga, perlakuan dan adab juga dijaga. Yang penting, ilmu mereka terhadap agama Allah lebih dalam berbanding saya. Allah, malunya !

Jika terpandang mereka, hati saya akan mula berkata "Aku nak jadi seperti mereka !"

Allahu Allah. Seringkali ayat itu terkeluar dari bibir mahupun dari hati ini. Terdetik hati ini untuk berubah ke jalan Allah SWT. Untuk lebih mendekati Allah SWT. Saya mula belajar menutup aurat secara berperingkat dimulai dengan melabuhkan tudung menutupi dada, memakai handsock, memakai stokin dan mula memakai pakaian yang lebih labuh. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa diri ini ingin sekali menjadi seperti mereka. Ingin sekali merapatkan ukhuwah bersama mereka. Ingin sekali pergi ke majlis-majlis ilmu bersama mereka. Ingin menjadi wanita muslimah.

Walaupun diri ini belum cukup kuat tapi demi Allah, saya cuba untuk berubah secara perlahan-perlahan. Tapi pelbagai persoalan yang berada dibenak minda.

"Mampukah aku jadi seperti mereka?"
"Kuatkah aku?"
"Adakah Allah masih mahu menerima aku lagi"
"Boleh ke aku berubah?"

Dan macam-macam lagi persoalan yang sering berlegar-legar di kepala. Disebabkan hal ini, kadangkala diri saya menjadi lemah. Rapuh. Lemah dan tiada daya untuk berubah.

Itulah yang saya rasa dan pelbagai lagi perasaan lain yang bercampur-baur. Allahu. Bila kita niatkan perubahan diri kita kerana lillahitaala, kerana Allah Taala, secara automatik, diri ini akan merasa ikhlas dalam melakukan perubahan. Saya cuba kuatkan dan cekalkan hati saya untuk terus berubah kerana Allah SWT. Alhamdulillah, saya cuba berubah sedikit demi sedikit dan Allah SWT membantu jalan saya untuk berubah ke jalan yang diredhaiNya. Allah SWT titipkan kepada saya sahabat-sahabat yang menyokong perubahan saya. Tiada yang mengejek, memerli, atau mencaci diri ini. Alhamdulillah.

Bila diri kita mahu berubah, pasti akan ada ujian dari Allah SWT kepada diri kita. Allah SWT ingin menguji sejauh manakah kesungguhan kita ingin berubah kerana Allah SWT. Disaat itu Allah SWT menguji tahap kesabaran dan kekuatan kita. Kadangkala diri ini juga lemah dan rapuh dengan ujian Allah itu. Tapi bila mengingatkan kembali bahawa Allah SWT pernah bersabda yang bermaksud :


"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

(Surah Al-Baqarah ayat 286) 

Allah SWT tidak akan menguji hambaNya melebihi tahap kemampuan hambaNya. Disaat itu saya mulai sedar yang Allah SWT masih sayang kepada diri saya. Allah SWT masih mahu menerima diri ini walaupun banyak dosa-dosa yang telah saya lakukan. Allah SWT masih memberi peluang kepada saya untuk bertaubat dan menerima saya untuk kembali kepadaNya. Allahuakbar !

Walaupun saya jatuh, tapi saya bangkit kerana Allah SWT. Saya bangkit dan terus berjalan ke hadapan. Saya menjadikan mereka, iaitu wanita muslimah sebagai inspirasi untuk saya menjadi seperti mereka suatu hari nanti. Ilmu Allah SWT yang sangat luas belum habis saya terokai. Ilmu yang saya ada hanya setitis dari lautan Allah SWT. Ya Allah, sungguh sedikit ilmu agamaku. Malu dengan mereka yang lebih dalam ilmu agamanya, terasa malu dengan diri sendiri betapa jahilnya diri ini. 

Namun, kerana Allah SWT jualah, diri ini tetap berada disini. Berubah kerana Allah SWT. Inspirasi diri ini untuk menjadi seorang wanita yang solehah suatu hari nanti tetap dihati. Hanya mampu berdoa dan terus berusaha menggapai cinta Allah SWT. Cinta nan satu, cinta yang hakiki. 

Walau terkadang diri ini lalai, alpa, terleka, terlupa dengan kenikmatan dunia, Alhamdulillah, Allah SWT menurunkan ujianNya buat diri ini untuk kembali bersujud kepadaNya. Untuk kembali mengingatiNya. Alhamdulillah, Allah SWT masih mahu menegur diri saya. Ya, Allah SWT selalu mengingati kita, hambaNya. 

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian. Jika ada yang berniat mahu berubah ke jalan Allah SWT, kuatkan hati mu. Bangkit untuk mengejar cinta Allah SWT. Teruskan niat ingin berubah kerana Allah SWT. Marilah kita berubah ke jalan Allah SWT sebelum terlambat. Tabahkan hatimu, sabarkan dirimu dengan ujian dari Allah SWT. Ujian itu akan mendekatkan diri kita lagi kepada Allah SWT. Usah malu untuk berubah, tetapi malulah kerana diri masih berada di takuk lama. Masih jahil dan tidak mahu berubah ke jalan Allah SWT. 

Sahabat-sahabat hawa yang ku sayangi kerana Allah SWT. Allah SWT sentiasa menunggu taubat dari hambaNya. Pintu taubat masih terbuka. Diri ini amat takut jika Allah SWT berpaling dari kita. Bukan saya sahaja, malah ramai lagi yang takut jika Allah SWT berpaling dari mereka. Ya Rabb. Allah SWT masih menunggu kita. Masih mengharapkan kita kembali kepadanya. Berubahlah walaupun perlahan, walaupun sedikit, kerana perubahan yang sedikit itu lebih baik dari tiada langsung perubahan. 

Wahai kaum hawa, marilah berubah. Dimulai dengan menutup auratmu, kemudian menjaga tutur kata dan perbuatanmu. Tidak lupa juga, menjaga ibadahmu dengan Allah. Ianya tidak susah seperti yang dikatakan. Cuba buat sedikit demi sedikit. Yang paling penting, istiqamah dan sentiasa berusaha. Wallahuaalam ~

"Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih."

Semoga Allah SWT tetap membantu dan permudahkan urusan kita untuk berubah kepadaNya. Berubah ke jalanNya. Dan semoga Allah SWT memberikan kesabaran, kekuatan iman, ketabahan untuk berubah ke jalan Allah. Aamiin. 

"Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah." :)


Nukilan FatinNabihahMS


Monday 18 November 2013

Allah Ada !!

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbt.

Tersenyum diri ini tatkala melihat sahabat saya post gambar ini di twitter miliknya. Dia mungkin tahu saya sedang bersedih tika itu. Allah. :')


Kita seringkali alpa dan juga mungkin kita terlupa, saat kita jatuh, kita akan merasakan diri ini tidak punya siapa-siapa. Tiada teman untuk bercerita, tiada sahabat untuk mengadu, tiada rakan untuk meluah nasib. Begitu juga dengan diri saya yang sering alpa. Tapi kita lupa, Allah sentiasa ada untuk kita di setiap waktu. Disaat kita sedih, gembira, keliru dan apa jua keadaan. Allah tetap bersama dengan kita. Allah dekat dengan kita. Mengadulah pada Allah, Dia sedia mendengar luahan hati hambaNya. Allahuakbar !


Nukilan FatinNabihahMS

Rapuh

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbt.

Ya Allah.
Rapuhnya hati hambaMu ini Ya Allah.
Rapuhnya bagai dedaun kering.
Dedaun kering yang ditiup angin.
Tanpa arah tujuan.

Ya Rabb.
Lemahnya diri ini tatkala dugaan mendatangi diri ku.
Kaki ini lemah untuk melangkah.
Lemah untuk berjalan dibumi mu.
Terasa diri ini begitu kerdil sekali Ya Allah.

Allahu Allah.
Mengalir air mata ini Ya Allah.
Penat dan lelah kerana sering menangis.
Tatkala diri ini dilanda pelbagai masalah.
Aku tidak kuat Ya Allah.
Aku lemah Ya Allah.

Ya Allah.
Aku menghadapinya seorang diri di bumi mu ini.
Namun aku pasti.
Engkau sentiasa ada disisi.
Ada setiap waktu menemani diri ku yang sedang lemah ini.
Engkau yang Maha Mengasihi.

Allahu Rabbi.
Jika ini takdir hidupku.
Yang telah engkau tulis sejak dahulu.
Aku pasti, ini lah yang terbaik untuk diriku.
Yang telah engkau aturkan untukku.
Hanya satu yang aku mampu.
Berdoa selalu.

Ya Allah.
Bantulah aku Ya Allah.
Aku tahu, setiap yang berlaku pasti ada hikmah.
Bantulah aku untuk mencari HidayahMu.
Bantulah aku untuk menggapai syurgaMu.
Kerana aku tahu.
Hanya Engkaulah yang satu, dalam hidupku...

Allahu Allah. Allahuakbar !


Nukilan FatinNabihahMS

Mak

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum wbt.

Disaat diri ini menulis coretan buat ibu tersayang, terbayang wajah mulus mak yang sedang tidur. Wajah yang makin hari makin nampak kedutan tua diwajahnya. Allahu.

Terbayang zaman kanak-kanak dahulu, belaian kasih seorang mak. Disaat mak masih sihat bekerja, memasak, mengemas rumah, menguruskan hal rumahtangga dahulu. Senyuman dan gelak ketawa mak amat saya rindui. Sampai satu saat, bila Allah berkata "kun fayakun !", maka terjadilah sesuatu yang bakal mengubah hidup mak. Allahurabbi.

13 tahun yang lalu...

Waktu itu saya baru berumur 7 tahun. Walaupun sudah agak lama kejadian ini berlaku, namun ia masih tetap segar dalam ingatan saya. Pada pagi itu, kami bangun agak lewat. Saya yang masih bersekolah dikejut oleh mak yang agak kelam kabut pada masa itu. Biasalah, mak harus menguruskan 3 orang adik dibawah saya pada waktu itu. Seorang adik berumur 1 tahun dan lagi 2 orang kembar masih bayi lagi. Lepas mak menyiapkan saya, mak terus mengendong ke dua adik kembar saya di kiri dan kanan mak. Mak nak menghantar adik kembar ke nursery. Saya hanya mengikut dibelakang mak.

Mak yang ketika itu sedang turun tangga tiba-tiba sahaja mak tergelincir depan mata saya. Allahu Allah. Kejadian itu sungguh pantas. Melihat mak yang sedang kesakitan masih lagi mengendong adik kembar saya. Tidak terjatuh langsung ketika itu adik kembar saya. Saya kaku berdiri ditangga. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Benarlah 'Malang itu tidak berbau'. Saya kaget bila mendengar tangisan kesakitan mak. Walaupun masih sakit, mak tetap ingin menyelamatkan adik kembar saya pada ketika itu. Tangan mak masih mengendong adik kembar saya yang masih bayi. Mak menyuruh saya memanggil ayah tiri saya yang sedang bersiap ketika itu. Saya terus berlari menaiki tangga dan masuk ke rumah.

"Papa, papa. Mak jatuh tangga." Iya, ayat inilah yang saya beritahu kepada ayah tiri saya.

Ayah tiri saya bertanya dimana mak saya dan berlari keluar dari pada rumah. Saya hanya mengikut di belakang ayah saya. Mungkin ketika itu saya masih terlalu kecik. Tidak memahami apa yang terjadi. Saya hanya berdiri kaku melihat ayah tiri saya dan jiran yang lain sudah keluar rumah ingin membantu mak saya. Dan mak dihantar ke hospital waktu itu juga. Saya dihantar ke nursery bersama dengan adik-adik saya rasanya. Tidak ke sekolah.

Di hospital, melihat mak yang sedang berbaring dengan sebelah kakinya di simen dan digantung membuat hati kecil saya bertanya. "Apa yang terjadi dengan mak?" "Kenapa dengan mak?" "Kenapa kaki mak digantung?" pelbagai persoalan yang berada dibenak minda ini. Melihat wajah pucat mak yang sedang kesakitan, membuat diri ini menjadi sedih. Sedih yang teramat kerana rindu dengan senyuman mak sewaktu sihat. Mak juga makin kurus tika itu. Allah. Mungkin ini lah takdir hidup mak yang Allah berikan.

Agak lama juga mak berada di hospital menjalani pembedahan dan rawatan. Dan tempurung lutut kaki mak di sebelah kanan dimasukkan besi. Mak balik ke rumah menggunakan tongkat. Mak berjalan mengunakan tongkat. Sungguh, walaupun keadaan mak masih tidak sihat, masih lemah, tetapi bila dirumah, mak sempat lagi bergurau senda dengan saya berkenaan tongkat. Mungkin mak pelik melihat diri saya yang asyik melihat mak berjalan menggunakan tongkat.

Jika di ingati kembali sewaktu mak jatuh, adik kembar saya masih dalam dakapan mak saya walaupun mak saya sedang menahan kesakitan. Mak masih ingin menyelamatkan anaknya. Benarlah, Kasih seorang ibu itu tiada tandingannya. Jika adik kembar saya sudah mengerti dan memahami apa yang berlaku saat itu, pasti mereka tidak akan sia-siakan pengorbanan seorang ibu kepada mereka. Saya juga tidak pasti apa yang akan berlaku jika adik kembar saya terlepas dari mak saya dan jatuh sekali. Ya Allah. Tapi Alhamdulillah, mak telah berusaha sebaik mungkin menyelamatkan anaknya walaupun dirinya sedang sakit.

Mak sungguh cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan dalam hidup. Sehingga ke hari ini, saya masih dapat merasakan yang mak rela berkorban apa sahaja demi melihat anaknya gembira. Mak cuba memenuhi permintaan anaknya. Mak yang sentiasa menyokong apa sahaja minat anaknya. Dan selalu berdoa untuk kebaikan anaknya.

Wahai sahabat yang dikasihi oleh Allah sekalian. Bukalah mata, bukalah minda dan bukalah hati anda. Lihat wajah ibu anda ketika mereka sedang tidur. Wajah itulah yang sering menjaga kita sewaktu kita kecil dahulu. Wajah yang kian dimamah usia itulah yang banyak menolong kita, banyak menggembirakan kita, banyak berkorban demi kita. Adakah kita sebagai anak mampu melakukan apa yang pernah ibu kita buat untuk kita? Tidak lupa juga kasih seorang ayah. Adakah kita sebagai anak mampu berkorban demi ibubapa kita?

Semoga Allah memberikan ketabahan kepada mak. Semoga Allah tetap menjaga dan memelihara mak. Aamiin. :')


'Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anaknya, tetapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.'

Tepuk dada tanya diri sendiri... Wallahuaalam ~



Nukilan FatinNabihahMS

Persoalan & Jawapan Melalui Al Qur'an Tentang Ujian Hidup

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum wbt.


KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI? 
QURAN MENJAWAB : 
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," 
("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji 
orang2 yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang2 yang benar dan, 
sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3) 

KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN ?
QURAN MENJAWAB : 
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu 
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak 
mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216) 

KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
QURAN MENJAWAB : 
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah Al-Baqarah ayat 286) 

KITA BERTANYA : KENAPA RASA TERTEKAN (STRESS) ?
QURAN MENJAWAB : 
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang2
yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang2 yg beriman." (Surah Al-Imran ayat 139) 

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB : 
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam
mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih
daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan 
pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty)
kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." 

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB : 
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang;
dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" 
(Surah Al-Baqarah ayat : 45) 

KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI? 
QURAN MENJAWAB : 
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan 
syurga untuk mereka... " (Surah At-Taubah ayat : 111) 

KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP? 
QURAN MENJAWAB : 
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
(Surah At-Taubah ayat 129) 

KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!! 
QURAN MENJAWAB : 
".....dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari
 rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 12)


-CP-

Nukilan FatinNabihahMS

Sunday 17 November 2013

New Blog

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum wbt,


Syukur ke Hadrat Allah swt kerana memberi peluang diri ini untuk mencoretkan sedikit ilmu, pengetahuan, pendapat dan pengalaman diri ini disini. Yang baik semuanya datang dari Allah, dan yang buruk itu adalah dari kelemahan diri saya sendiri. This is my second blog. So, keep reading ~


Nukilan FatinNabihahMS