Monday 18 November 2013

Mak

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum wbt.

Disaat diri ini menulis coretan buat ibu tersayang, terbayang wajah mulus mak yang sedang tidur. Wajah yang makin hari makin nampak kedutan tua diwajahnya. Allahu.

Terbayang zaman kanak-kanak dahulu, belaian kasih seorang mak. Disaat mak masih sihat bekerja, memasak, mengemas rumah, menguruskan hal rumahtangga dahulu. Senyuman dan gelak ketawa mak amat saya rindui. Sampai satu saat, bila Allah berkata "kun fayakun !", maka terjadilah sesuatu yang bakal mengubah hidup mak. Allahurabbi.

13 tahun yang lalu...

Waktu itu saya baru berumur 7 tahun. Walaupun sudah agak lama kejadian ini berlaku, namun ia masih tetap segar dalam ingatan saya. Pada pagi itu, kami bangun agak lewat. Saya yang masih bersekolah dikejut oleh mak yang agak kelam kabut pada masa itu. Biasalah, mak harus menguruskan 3 orang adik dibawah saya pada waktu itu. Seorang adik berumur 1 tahun dan lagi 2 orang kembar masih bayi lagi. Lepas mak menyiapkan saya, mak terus mengendong ke dua adik kembar saya di kiri dan kanan mak. Mak nak menghantar adik kembar ke nursery. Saya hanya mengikut dibelakang mak.

Mak yang ketika itu sedang turun tangga tiba-tiba sahaja mak tergelincir depan mata saya. Allahu Allah. Kejadian itu sungguh pantas. Melihat mak yang sedang kesakitan masih lagi mengendong adik kembar saya. Tidak terjatuh langsung ketika itu adik kembar saya. Saya kaku berdiri ditangga. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Benarlah 'Malang itu tidak berbau'. Saya kaget bila mendengar tangisan kesakitan mak. Walaupun masih sakit, mak tetap ingin menyelamatkan adik kembar saya pada ketika itu. Tangan mak masih mengendong adik kembar saya yang masih bayi. Mak menyuruh saya memanggil ayah tiri saya yang sedang bersiap ketika itu. Saya terus berlari menaiki tangga dan masuk ke rumah.

"Papa, papa. Mak jatuh tangga." Iya, ayat inilah yang saya beritahu kepada ayah tiri saya.

Ayah tiri saya bertanya dimana mak saya dan berlari keluar dari pada rumah. Saya hanya mengikut di belakang ayah saya. Mungkin ketika itu saya masih terlalu kecik. Tidak memahami apa yang terjadi. Saya hanya berdiri kaku melihat ayah tiri saya dan jiran yang lain sudah keluar rumah ingin membantu mak saya. Dan mak dihantar ke hospital waktu itu juga. Saya dihantar ke nursery bersama dengan adik-adik saya rasanya. Tidak ke sekolah.

Di hospital, melihat mak yang sedang berbaring dengan sebelah kakinya di simen dan digantung membuat hati kecil saya bertanya. "Apa yang terjadi dengan mak?" "Kenapa dengan mak?" "Kenapa kaki mak digantung?" pelbagai persoalan yang berada dibenak minda ini. Melihat wajah pucat mak yang sedang kesakitan, membuat diri ini menjadi sedih. Sedih yang teramat kerana rindu dengan senyuman mak sewaktu sihat. Mak juga makin kurus tika itu. Allah. Mungkin ini lah takdir hidup mak yang Allah berikan.

Agak lama juga mak berada di hospital menjalani pembedahan dan rawatan. Dan tempurung lutut kaki mak di sebelah kanan dimasukkan besi. Mak balik ke rumah menggunakan tongkat. Mak berjalan mengunakan tongkat. Sungguh, walaupun keadaan mak masih tidak sihat, masih lemah, tetapi bila dirumah, mak sempat lagi bergurau senda dengan saya berkenaan tongkat. Mungkin mak pelik melihat diri saya yang asyik melihat mak berjalan menggunakan tongkat.

Jika di ingati kembali sewaktu mak jatuh, adik kembar saya masih dalam dakapan mak saya walaupun mak saya sedang menahan kesakitan. Mak masih ingin menyelamatkan anaknya. Benarlah, Kasih seorang ibu itu tiada tandingannya. Jika adik kembar saya sudah mengerti dan memahami apa yang berlaku saat itu, pasti mereka tidak akan sia-siakan pengorbanan seorang ibu kepada mereka. Saya juga tidak pasti apa yang akan berlaku jika adik kembar saya terlepas dari mak saya dan jatuh sekali. Ya Allah. Tapi Alhamdulillah, mak telah berusaha sebaik mungkin menyelamatkan anaknya walaupun dirinya sedang sakit.

Mak sungguh cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan dalam hidup. Sehingga ke hari ini, saya masih dapat merasakan yang mak rela berkorban apa sahaja demi melihat anaknya gembira. Mak cuba memenuhi permintaan anaknya. Mak yang sentiasa menyokong apa sahaja minat anaknya. Dan selalu berdoa untuk kebaikan anaknya.

Wahai sahabat yang dikasihi oleh Allah sekalian. Bukalah mata, bukalah minda dan bukalah hati anda. Lihat wajah ibu anda ketika mereka sedang tidur. Wajah itulah yang sering menjaga kita sewaktu kita kecil dahulu. Wajah yang kian dimamah usia itulah yang banyak menolong kita, banyak menggembirakan kita, banyak berkorban demi kita. Adakah kita sebagai anak mampu melakukan apa yang pernah ibu kita buat untuk kita? Tidak lupa juga kasih seorang ayah. Adakah kita sebagai anak mampu berkorban demi ibubapa kita?

Semoga Allah memberikan ketabahan kepada mak. Semoga Allah tetap menjaga dan memelihara mak. Aamiin. :')


'Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anaknya, tetapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.'

Tepuk dada tanya diri sendiri... Wallahuaalam ~



Nukilan FatinNabihahMS

No comments:

Post a Comment