Tuesday 19 November 2013

Nak Jadi Seperti Mereka !

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Segala pujian bagi Allah Rabbul Izzati, Selawat ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda. Alhamdulillah Ya Allah, kerana masih diberi nafas untuk hidup dimuka bumi ini untuk meneruskan ibadah kepadaNya, bertaubat atas dosa-dosa lalu dan masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk mencoretkan sedikit bingkisan dari hati. Dan terus menyampaikan dakwah walaupun diri ini masih belum sempurna. Allahu.

Tik tok tik tok.

Dah pukul 5.48 pagi, tapi mata saya masih lagi belum mahu lelap. Terasa penat dan mengantuk. Tapi diri ini masih lagi gigih berjaga. Sukar mahu lelap. Entah apa yang saya sering fikirkan kebelakangan ini. Terasa resah diri ini. Adakah diri ini sudah jauh dari Allah SWT? Ya Allah, ampunilah dosa hambaMu yang sering alpa ini. :'(

Teringat diri ini akan diri saya yang dahulu. Syukur, Alhamdulillah, sejak masuk ke UiTM ini, Hidayah dari Allah SWT itu datang kepada diri ini. Perasaan ingin berubah ke arah lebih baik, dan ingin menggapai cinta dari Allah SWT itu membuak-buak datang di sanubari ini. Mungkin, ini caranya Allah SWT mahu memberikan Hidayah kepada saya. Kenapa saya berkata begitu? Biarlah hanya saya sahaja yang tahu :)

Sekarang, saya lebih suka melihat penampilan muslimah bertudung labuh. Subhanallah. Tidak berkelip mata ini jika terpandang mereka. Sungguh cantik ! Mereka yang menutup auratnya, tutur katanya dijaga, perlakuan dan adab juga dijaga. Yang penting, ilmu mereka terhadap agama Allah lebih dalam berbanding saya. Allah, malunya !

Jika terpandang mereka, hati saya akan mula berkata "Aku nak jadi seperti mereka !"

Allahu Allah. Seringkali ayat itu terkeluar dari bibir mahupun dari hati ini. Terdetik hati ini untuk berubah ke jalan Allah SWT. Untuk lebih mendekati Allah SWT. Saya mula belajar menutup aurat secara berperingkat dimulai dengan melabuhkan tudung menutupi dada, memakai handsock, memakai stokin dan mula memakai pakaian yang lebih labuh. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa diri ini ingin sekali menjadi seperti mereka. Ingin sekali merapatkan ukhuwah bersama mereka. Ingin sekali pergi ke majlis-majlis ilmu bersama mereka. Ingin menjadi wanita muslimah.

Walaupun diri ini belum cukup kuat tapi demi Allah, saya cuba untuk berubah secara perlahan-perlahan. Tapi pelbagai persoalan yang berada dibenak minda.

"Mampukah aku jadi seperti mereka?"
"Kuatkah aku?"
"Adakah Allah masih mahu menerima aku lagi"
"Boleh ke aku berubah?"

Dan macam-macam lagi persoalan yang sering berlegar-legar di kepala. Disebabkan hal ini, kadangkala diri saya menjadi lemah. Rapuh. Lemah dan tiada daya untuk berubah.

Itulah yang saya rasa dan pelbagai lagi perasaan lain yang bercampur-baur. Allahu. Bila kita niatkan perubahan diri kita kerana lillahitaala, kerana Allah Taala, secara automatik, diri ini akan merasa ikhlas dalam melakukan perubahan. Saya cuba kuatkan dan cekalkan hati saya untuk terus berubah kerana Allah SWT. Alhamdulillah, saya cuba berubah sedikit demi sedikit dan Allah SWT membantu jalan saya untuk berubah ke jalan yang diredhaiNya. Allah SWT titipkan kepada saya sahabat-sahabat yang menyokong perubahan saya. Tiada yang mengejek, memerli, atau mencaci diri ini. Alhamdulillah.

Bila diri kita mahu berubah, pasti akan ada ujian dari Allah SWT kepada diri kita. Allah SWT ingin menguji sejauh manakah kesungguhan kita ingin berubah kerana Allah SWT. Disaat itu Allah SWT menguji tahap kesabaran dan kekuatan kita. Kadangkala diri ini juga lemah dan rapuh dengan ujian Allah itu. Tapi bila mengingatkan kembali bahawa Allah SWT pernah bersabda yang bermaksud :


"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

(Surah Al-Baqarah ayat 286) 

Allah SWT tidak akan menguji hambaNya melebihi tahap kemampuan hambaNya. Disaat itu saya mulai sedar yang Allah SWT masih sayang kepada diri saya. Allah SWT masih mahu menerima diri ini walaupun banyak dosa-dosa yang telah saya lakukan. Allah SWT masih memberi peluang kepada saya untuk bertaubat dan menerima saya untuk kembali kepadaNya. Allahuakbar !

Walaupun saya jatuh, tapi saya bangkit kerana Allah SWT. Saya bangkit dan terus berjalan ke hadapan. Saya menjadikan mereka, iaitu wanita muslimah sebagai inspirasi untuk saya menjadi seperti mereka suatu hari nanti. Ilmu Allah SWT yang sangat luas belum habis saya terokai. Ilmu yang saya ada hanya setitis dari lautan Allah SWT. Ya Allah, sungguh sedikit ilmu agamaku. Malu dengan mereka yang lebih dalam ilmu agamanya, terasa malu dengan diri sendiri betapa jahilnya diri ini. 

Namun, kerana Allah SWT jualah, diri ini tetap berada disini. Berubah kerana Allah SWT. Inspirasi diri ini untuk menjadi seorang wanita yang solehah suatu hari nanti tetap dihati. Hanya mampu berdoa dan terus berusaha menggapai cinta Allah SWT. Cinta nan satu, cinta yang hakiki. 

Walau terkadang diri ini lalai, alpa, terleka, terlupa dengan kenikmatan dunia, Alhamdulillah, Allah SWT menurunkan ujianNya buat diri ini untuk kembali bersujud kepadaNya. Untuk kembali mengingatiNya. Alhamdulillah, Allah SWT masih mahu menegur diri saya. Ya, Allah SWT selalu mengingati kita, hambaNya. 

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian. Jika ada yang berniat mahu berubah ke jalan Allah SWT, kuatkan hati mu. Bangkit untuk mengejar cinta Allah SWT. Teruskan niat ingin berubah kerana Allah SWT. Marilah kita berubah ke jalan Allah SWT sebelum terlambat. Tabahkan hatimu, sabarkan dirimu dengan ujian dari Allah SWT. Ujian itu akan mendekatkan diri kita lagi kepada Allah SWT. Usah malu untuk berubah, tetapi malulah kerana diri masih berada di takuk lama. Masih jahil dan tidak mahu berubah ke jalan Allah SWT. 

Sahabat-sahabat hawa yang ku sayangi kerana Allah SWT. Allah SWT sentiasa menunggu taubat dari hambaNya. Pintu taubat masih terbuka. Diri ini amat takut jika Allah SWT berpaling dari kita. Bukan saya sahaja, malah ramai lagi yang takut jika Allah SWT berpaling dari mereka. Ya Rabb. Allah SWT masih menunggu kita. Masih mengharapkan kita kembali kepadanya. Berubahlah walaupun perlahan, walaupun sedikit, kerana perubahan yang sedikit itu lebih baik dari tiada langsung perubahan. 

Wahai kaum hawa, marilah berubah. Dimulai dengan menutup auratmu, kemudian menjaga tutur kata dan perbuatanmu. Tidak lupa juga, menjaga ibadahmu dengan Allah. Ianya tidak susah seperti yang dikatakan. Cuba buat sedikit demi sedikit. Yang paling penting, istiqamah dan sentiasa berusaha. Wallahuaalam ~

"Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih."

Semoga Allah SWT tetap membantu dan permudahkan urusan kita untuk berubah kepadaNya. Berubah ke jalanNya. Dan semoga Allah SWT memberikan kesabaran, kekuatan iman, ketabahan untuk berubah ke jalan Allah. Aamiin. 

"Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah." :)


Nukilan FatinNabihahMS


No comments:

Post a Comment